Rabu, 17 September 2014

Masyarakat Melayu Cocos di Kepulauan Cocos-Keeling

Salah sebuah buku berkaitan masyarakat Melayu Cocos  yang boleh dijadikan rujukan ialah hasil tulisan Pauline Bunce, The Cocos (Keeling) Islands - Australian Atolls in the Indian Ocean yang diterbitkan pada tahun 1988 oleh The Jacaranda Press, Queensland, Australia. Buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sepenuhnya oleh Padilah Haji Ali dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1993. Beberapa tahun lepas (barangkali pada tahun 2010), seorang rakan yang bertugas di DBP Kota Kinabalu menghubungi saya, dan katanya ada sejumlah buku ini (berkulit tebal dan nipis, dengan harga sekian-sekian dan jumlah sekian-sekian), masih ada dalam stor DBP, dan mereka sedang dalam proses untuk mengemaskini stok. Jika saya berminat, dia akan kirimkan ke Lahad Datu. Saya berbincang dengan Encik Suami dan Encik Suami pula memanjangkan kepada ayahandanya (Allahyarham Tuan Haji Imam Relay). Diringkaskan cerita, saya pun mula berurusniaga dengan rakan di DBP Kota Kinabalu tadi, dan meminta beliau mengirim kesemua naskhah yang ada (saya pun terlupa entah berapa puluh naskhah), baik buku kulit tebal atau kulit nipis.


Alhamdulillah, seingat saya semua ahli keluarga Habib Harris mempunyai sekurang-kurang satu naskhah buku ini. Buku ini boleh dijadikan sebagai bahan rujukan, serta bermanfaat untuk mengetahui sejarah dan asal-usul mereka.



Saya petik perenggan pertama prakata yang ditulis oleh F.C. Murray, Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia (1993) yang berbunyi:

Antara semua Wilayah Australia yang diduduki, boleh dikatakan yang paling luar biasa dan sememangnya yang paling jauh dan yang kurang sekali diketahui oleh kebanyakan penduduk Australia ialah Kepulauan Cocos (Keeling). Dua buah pulau karang ini terletak jauh di Lautan Hindi, lebih kurang 3600km ke barat Darwin.


Orang Melayu Cocos merupakan sebuah masyarakat Islam dan bertutur bahasa 'Melayu pasar' dari Hindia Timur lama. Mereka berjaya mengekalkan budaya mereka sendiri. Sejarah hidup mereka menakjubkan seperti juga sejarah pulau tempat tinggal mereka. Sebelum ketibaan mereka ke sini pada abad yang lalu, pulau-pulau Cocos ini merupakan tempat yang tidak dihuni seperti dalam kisah Robinson Crusoe, selain oleh sebilangan besar burung - F.C.Murray

Bayangkan anda berada di pulau ini.... di tengah-tengah Lautan Hindi yang sentiasa bergelora! Dari sinilah asal usul keturunan Melayu Cocos bermula, termasuk keluarga Habib Harris.


Di sebalik keindahan pulau karang yang penuh warna warni ini, ada pelbagai kisah yang mengiringinya. Ia kini menjadi kenangan, setelah masing-masing membawa diri dan nasib ke tempat baru. Segala kisah suka duka tidak habis di pulau itu saja, tetapi dijadikan kisah dan teladan untuk anak cucu cicit.....


Ada ketikanya sampai serak-serak suara Allahyarham Ayahanda Tuan Imam Haji Relay & Allahyarhamah Hajah Juriah bercerita tentang segala kenangannya di pulau ini. Tentang burung, tentang ikan yang pelbagai, tidak ketinggalan cerita tentang ketam-ketam yang sangat besar sehingga boleh mengupas sabut kelapa!



Dan tidak ketinggalan cerita tentang gula nira... yang katanya (Allahyarham Ayahanda Tuan Imam Haji Relay) sangat sedap, mengalahkan rasa gula yang kita gunakan hari ini.


Dan pelbagai lagi.... tentang budaya Melayu Cocos yang unik dan tersendiri!


Di belakang kulit buku tersebut tertulis:

Setiap orang akan terpukau oleh pulau-pulau tropika yang terpencil. Kepulauan Cocos Keeling) merupakan Wilayah Australia yang unik namun tidak begitu diketahui di Lautan Hindi.
Pulau-pulau ini dilitupi pokok kelapa dan ia melingkungi sebuah lagun besar yang biru. Hanya dua daripada 27 pulau karang ini mempunyai penduduk dan pulau yang ketiga ialah tempat penginapan burung laut yang terkenal di dunia.
Pulau-pulau kecil ini telah banyak juga menyaksikan pergolakan manusia sejak petempatannya yang pertama abad yang lalu. Kedua-dua Perang Dunia meninggalkan kesannya di sini dan ia menjadi tajuk berita pada 1978 apabila is dibeli daripada keluarga Clunies-Ross dengan harga $6.25 juta.
Orang Melayu Cocos ialah keturunan peneroka asal yang datang ke pulau-pulau ini pada 1826. Mereka bertutur dialek bahasa Melayu dan memperkembangkan pelbagai asal usul serta tradisi Islam sesama mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan