Sabtu, 20 September 2014

Kates @ Betik @ Papaya @ Kepayas

Assalamualaikum.
Hari ini nak cerita tentang buah di bawah ini. Orang Melayu Cocos panggil buah kates. Bahasa Melayunya, buah betik.  Dalam Bahasa Inggeris pula papaya. Kadang-kadang terdengar pulak Allahyarhamah Bonda mentua panggil kepayas!

Pokok betik ini tumbuh di sebelah rumah Pak Huda. Kalau kenduri tak payah lagi pergi beli buah betik di pasar! Petik jak...


Ini pula gambar Sambal Goreng Kates yang sudah siap masak semasa kenduri di rumah Pak Huda. Kalau tak silap semasa kenduri arwah... Sambal Goreng Kates merupakan salah satu di antara lauk pauk yang dletakkan di atas nasi berkat, selain ayam dan ikan goreng, cepedel, telur masin, serunding dan sebagainya.






Ini pula gambar Sambal Goreng Kates yang saya masak di rumah dan saya sempat masukkan dalam ruangan Malaysian Food Festival (Sabah Month). 


Jadinya bik, jangan susah-susah cari sayur lain. Bikinkan saja paman sama Sambal Goreng Kates. Resepi yang saya jeling-jeling sewaktu Allahyarhamah Bonda mentua masak seperti di bawah inilah konoknya ya... kalo ada yang salah jangan marah, gue ini ong negeri kok!


Bahan-bahan:
1 kg betik / kates mengkal - kupas kulit dan hiris memanjang
250 gram hati ayam
250 gram mempedal ayam
7 biji cili merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
5 biji bawang merah - hiris
1/3 cawan asam jawa - bancuh dengan sedikit air
4 cawan air
garam / perasa pilihan - ubat sayurlah ni
minyak

Cara:
1. Hati dan mempedal ayam direbus sehingga empuk dan kemudian potong - potong kecil
2. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih serta bawang merah hingga wangi.
3. Masukkan hirisan cili merah dan goreng hingga layu.
4. Masukkan hati dan mempedal ayam. Kacau rata.
5. Masukkan hirisn kates / betik.
6. Tambahkan bancuhan air asam jawa dan gaul rata.
7. Masukkan air dan kemudian tutup masakan. Biarkan mendidih dan kuahnya mula pekat.
8. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
9. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Jumaat, 19 September 2014

Warna Warni Aidil Fitri Keluarga Habib Harris 2014

Program pertemuan keluarga Habib Harris kali ini merupakan kali ke-7 diadakan sempena sambutan Aidil Firi 2014. Ia menarik perhatian seorang wartawan akhbar tempatan, Mohd Nazib Macpee untuk membuat paparan di Utusan Borneo, dan tersiar pada hari Sabtu, 9 Ogos 2014.

Terlebih dahulu saya meminta maaf kepada sebahagian besar ahli keluarga Habib Harris, kerana gambar-gambar yang saya paparkan ini tidak lengkap. Kebetulan pula, pada malam tersebut saya agak keletihan (pada sebelah siangnya rumah terbuka raya di rumah kami), jadi saya hanya sempat merakam suasana yang berhampiran dengan saya sahaja. Pada ketika itu, saya tidak terfikir Pak Lin (Tuan Haji Mohd Indah Habib) selaku pengerusi penganjur berminat dengan cadangan saya untuk mendokumentasikan program keluarga ini. Belum pun acara berakhir, saya sudah tertidur (kerana si kecil Firdaus pun tidur) di rumah Pak Huda. Acara berakhir lebih kurang pukul 12.30 malam, dan ketika itu antara dengar dengan tidak Pak Farid (Encik Suami) memanggil saya, dan sayup-sayup kedengaran suara Pak Lin.... dah.. sudah, kalo Mak Farid tidur, biarlah. Saya memang dah tak boleh buka mata dan berharap pada masa yang lain dapat berbincang dengan Pak Lin. Cuma yang saya masih ingat pesanan Pak Lin ialah : Jangan lupa tuliskan Program Kasih Sayang dan Harmoni Sepanjang Hayat!

Syukur Alhamdulillah. Blog Keluarga Habib Harris : Kasih Sayang dan Harmoni Sepanjang Hayat ini saya dedikasikan buat semua ahli keluarga Habib Harris. Mudah-mudahan usaha kecil ini akan membuahkan hasil untuk tatapan generasi pada masa akan datang.

Program ini sebenarnya diilhamkan oleh Allahyarham Ayahanda Tuan Imam Haji Relay, bertujuan untuk mengumpulkan semua anak cucu cicit keluarga Habib Harris pada pertemuan hari raya. Setiap tahun, akan dipilih salah seorang daripada adik-beradik Allahyarham Ayahanda Tuan Imam Haji Relay untuk bersiap sedia di rumah masing-masing bagi melaksanakan aktiviti pertemuan tersebut. Walaupun sudah tujuh kali di adakan tetapi saya hanya berkesempatan mengikutinya sebanyak tiga kali, memandangkan setiap tahun berselang saya (sekeluarga) akan pulang berhari raya di rumah keluarga di Selangor.
Apa yang sangat menyentuh hati saya ketika pertama kali menghadirinya (kebetulan diadakan di rumah Ayahanda Allahyarham) ialah amanat dan pesanan Allahyarham kepada semua yang hadir. Ia bukan pertemuan biasa antara sanak saudara, tetapi pertemuan yang penuh pengisian! Allahyarham menyentuh tentang kepentingan akademik anak-anak, dan yang saya ingat sehingga ke hari ini ialah beliau membicarakan tentang nilai moral dan cara menghargai jasa dan sumbangan orang lain dalam hidup kita!

Pak Jamil mempengerusikan majlis pada malam tersebut.  Oh... ya! Kali ini Pak Lijah dipilih untuk menjadi tuan rumah. jadi, majlis diadakan di perkarangan rumah Pak Lijah. Gambar di atas, Pak Jamil bersama Said (lupa apa nama Pak...), bertungkus lumus menjayakan majlis pada malam itu.

Gambar yang sempat saya rakam. Di bahagian hadapan, keluarga Pak Imah & Mak Imah. Duduk di belakang, anak menantu Pak Lin.

Keluarga Mak Nan.

Pak Tajul (bersongkok putih) di belakang duduk bersebelahan Azwan. Anak-anak Pak Farid, Pak Huda, dan menantu Mak Ajwa.

Keluarga Mak Kajub. Kuning di raja...

Mak Ris sama Siti & anak-anak. 

Keluarga Wak Nakri.

Yang di depan sekali ini Huda Naqiyah, anak sulung Pak Huda. Belakangnya itu si Acik, anak bongsu Mak Ajwa dan hujung sekali Hasna, menantu Mak Ajwa.

Bermaaf-maafan sesama ahli keluarga. Minta maaf, sebab entri saya ni bertabur sana-sini, terlupa hujung pangkal!

Ini Pak Huda (baju ungu), di belakangnya itu Beche Tarru (isteri kesayangannya he hehehe), sedang bermaaf-maafan dengan Pak Lin (baju coklat, membelakangkan kamera.

Syahdunya!

Ini Pak Lijah(baju ungu tua) tuan rumah pada kali ini.

Ini si kecil Muaz... sempat beraya di kampung sebelum balik Keningau.

Ini bapak si Muaz ya.... Pak Muaz kah?

Oh! Farid dapat hamper! Waktu itu saya memang sudah tak dengar apa-apa sebab dah mimpi ke bulan. Gambar ini dirakam oleh Fuad. Katanya Farid dapat hadiah kategori akademik. Gambar abangnya saja dia ambil, gambar orang lain tidak pulak!

Seperti yang saya katakan diawal tadi, tulisan saya ini lintang pukang. Sebenarnya banyak acara diadakan selain makan-makan (makanan dibawa oleh setiap ahli keluarga dan dikumpul bersama), ada acara teka berat durian (saya ikut tapi tak menang pun ha hahaha). Hadiah pun macam-macam juga. Kalau dah berkumpul ramai-ramai, tak lengkap rasanya kalau tak berdendang macam di bawah ini.....


Makin handsome bah (Pak Ijam) abang iparku ini.... sama Mak Ijam!

Jumpa lagi....

Rabu, 17 September 2014

Masyarakat Melayu Cocos di Kepulauan Cocos-Keeling

Salah sebuah buku berkaitan masyarakat Melayu Cocos  yang boleh dijadikan rujukan ialah hasil tulisan Pauline Bunce, The Cocos (Keeling) Islands - Australian Atolls in the Indian Ocean yang diterbitkan pada tahun 1988 oleh The Jacaranda Press, Queensland, Australia. Buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sepenuhnya oleh Padilah Haji Ali dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1993. Beberapa tahun lepas (barangkali pada tahun 2010), seorang rakan yang bertugas di DBP Kota Kinabalu menghubungi saya, dan katanya ada sejumlah buku ini (berkulit tebal dan nipis, dengan harga sekian-sekian dan jumlah sekian-sekian), masih ada dalam stor DBP, dan mereka sedang dalam proses untuk mengemaskini stok. Jika saya berminat, dia akan kirimkan ke Lahad Datu. Saya berbincang dengan Encik Suami dan Encik Suami pula memanjangkan kepada ayahandanya (Allahyarham Tuan Haji Imam Relay). Diringkaskan cerita, saya pun mula berurusniaga dengan rakan di DBP Kota Kinabalu tadi, dan meminta beliau mengirim kesemua naskhah yang ada (saya pun terlupa entah berapa puluh naskhah), baik buku kulit tebal atau kulit nipis.


Alhamdulillah, seingat saya semua ahli keluarga Habib Harris mempunyai sekurang-kurang satu naskhah buku ini. Buku ini boleh dijadikan sebagai bahan rujukan, serta bermanfaat untuk mengetahui sejarah dan asal-usul mereka.



Saya petik perenggan pertama prakata yang ditulis oleh F.C. Murray, Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia (1993) yang berbunyi:

Antara semua Wilayah Australia yang diduduki, boleh dikatakan yang paling luar biasa dan sememangnya yang paling jauh dan yang kurang sekali diketahui oleh kebanyakan penduduk Australia ialah Kepulauan Cocos (Keeling). Dua buah pulau karang ini terletak jauh di Lautan Hindi, lebih kurang 3600km ke barat Darwin.


Orang Melayu Cocos merupakan sebuah masyarakat Islam dan bertutur bahasa 'Melayu pasar' dari Hindia Timur lama. Mereka berjaya mengekalkan budaya mereka sendiri. Sejarah hidup mereka menakjubkan seperti juga sejarah pulau tempat tinggal mereka. Sebelum ketibaan mereka ke sini pada abad yang lalu, pulau-pulau Cocos ini merupakan tempat yang tidak dihuni seperti dalam kisah Robinson Crusoe, selain oleh sebilangan besar burung - F.C.Murray

Bayangkan anda berada di pulau ini.... di tengah-tengah Lautan Hindi yang sentiasa bergelora! Dari sinilah asal usul keturunan Melayu Cocos bermula, termasuk keluarga Habib Harris.


Di sebalik keindahan pulau karang yang penuh warna warni ini, ada pelbagai kisah yang mengiringinya. Ia kini menjadi kenangan, setelah masing-masing membawa diri dan nasib ke tempat baru. Segala kisah suka duka tidak habis di pulau itu saja, tetapi dijadikan kisah dan teladan untuk anak cucu cicit.....


Ada ketikanya sampai serak-serak suara Allahyarham Ayahanda Tuan Imam Haji Relay & Allahyarhamah Hajah Juriah bercerita tentang segala kenangannya di pulau ini. Tentang burung, tentang ikan yang pelbagai, tidak ketinggalan cerita tentang ketam-ketam yang sangat besar sehingga boleh mengupas sabut kelapa!



Dan tidak ketinggalan cerita tentang gula nira... yang katanya (Allahyarham Ayahanda Tuan Imam Haji Relay) sangat sedap, mengalahkan rasa gula yang kita gunakan hari ini.


Dan pelbagai lagi.... tentang budaya Melayu Cocos yang unik dan tersendiri!


Di belakang kulit buku tersebut tertulis:

Setiap orang akan terpukau oleh pulau-pulau tropika yang terpencil. Kepulauan Cocos Keeling) merupakan Wilayah Australia yang unik namun tidak begitu diketahui di Lautan Hindi.
Pulau-pulau ini dilitupi pokok kelapa dan ia melingkungi sebuah lagun besar yang biru. Hanya dua daripada 27 pulau karang ini mempunyai penduduk dan pulau yang ketiga ialah tempat penginapan burung laut yang terkenal di dunia.
Pulau-pulau kecil ini telah banyak juga menyaksikan pergolakan manusia sejak petempatannya yang pertama abad yang lalu. Kedua-dua Perang Dunia meninggalkan kesannya di sini dan ia menjadi tajuk berita pada 1978 apabila is dibeli daripada keluarga Clunies-Ross dengan harga $6.25 juta.
Orang Melayu Cocos ialah keturunan peneroka asal yang datang ke pulau-pulau ini pada 1826. Mereka bertutur dialek bahasa Melayu dan memperkembangkan pelbagai asal usul serta tradisi Islam sesama mereka.

Ikan Nek Da'im

Ada sejenis ikan laut yang sangat digemari oleh orang Melayu Cocos (merujuk kepada Keluarga Habib & mungkin keluarga Melayu Cocos yang lain), seperti dalam gambar di bawah ini.


Allahyarhamah Bonda (mentua) panggil ikan ini dengan nama Ikan Nek Da'im. Macam nama orang kan? Sesekali terlepas cakap juga, disebutnya dengan nama ikan temparing! Bila borak-borak dengan kawan-kawan, ada yang kata ini namanya ikan batu. Rakan-rakan dari suku kaum Bajau pula panggil ikan kutambak. Bila pergi ke pasar, penjual ikan pun panggil ikan kutambak!



Isi ikan ini memang sedap dan padat. Kalau  pergi menolong di majlis kenduri di kampung, ikan ini akan digoreng dan dijadikan sebagai salah satu di antara lauk pauk di atas nasi berkat. Bagaimana ikan ini dapat nama Ikan Nek Da'im? Menurut ceritanya,  seseorang yang bernama Nek Da'im sangat menggemari ikan ini. Oleh kerana itu, setiap kali melihat, menangkap atau mengolah dan menikmati ikan ini, mereka akan memanggilnya sebagai Ikan Nek Da'im, merujuk kepada penggemarnya!

Pernah sekali ikut Allahyarham Bonda (mentua) ke pasar, mencari ikan untuk kenduri arwah. Semasa memilih ikan, beliau memegang ekor ikan dan seakan-akan mematahkannya.Boleh tau ikan ini kaku atau tidak, itu jawabnya bila ditanya. Memang ada kebenarannya.... pernah sekali beli ikan ini, dan bila digoreng isinya kaku! Bila direbus terpaksa mengambil masa yang agak panjang supaya isinya jadi lembut. Pengalaman hidup di tengah Lautan Hindi, memberi seribu satu ilmu pengetahuan tentang sifat ikan rupanya!

Program Kasih Sayang dan Harmoni Sepanjang Hayat

Anak cucu cicit Habib Harris & Leone Kalwie berkumpul sempena Aidil Fitri 2014.


Pertemuan keluarga secara besar-besaran ini merupakan kali ke-7 di adakan, dan bertempat di rumah Wajidi Abip (Pak Lijah) di Batu 6, Kampung Kokos.

Murtabak Goreng

Resepi kenang-kenangan semasa bonda mentua masih ada. 


Untuk resepinya, sila klik DI SINI .


Biasanya Murtabak Goreng ini dimakan bersama jem, seri kaya, susu atau cicahan lain. Sesuai untuk minum petang bersama keluarga.