Ada sejenis ikan laut yang sangat digemari oleh orang Melayu Cocos (merujuk kepada Keluarga Habib & mungkin keluarga Melayu Cocos yang lain), seperti dalam gambar di bawah ini.
Allahyarhamah Bonda (mentua) panggil ikan ini dengan nama Ikan Nek Da'im. Macam nama orang kan? Sesekali terlepas cakap juga, disebutnya dengan nama ikan temparing! Bila borak-borak dengan kawan-kawan, ada yang kata ini namanya ikan batu. Rakan-rakan dari suku kaum Bajau pula panggil ikan kutambak. Bila pergi ke pasar, penjual ikan pun panggil ikan kutambak!
Isi ikan ini memang sedap dan padat. Kalau pergi menolong di majlis kenduri di kampung, ikan ini akan digoreng dan dijadikan sebagai salah satu di antara lauk pauk di atas nasi berkat. Bagaimana ikan ini dapat nama Ikan Nek Da'im? Menurut ceritanya, seseorang yang bernama Nek Da'im sangat menggemari ikan ini. Oleh kerana itu, setiap kali melihat, menangkap atau mengolah dan menikmati ikan ini, mereka akan memanggilnya sebagai Ikan Nek Da'im, merujuk kepada penggemarnya!
Pernah sekali ikut Allahyarham Bonda (mentua) ke pasar, mencari ikan untuk kenduri arwah. Semasa memilih ikan, beliau memegang ekor ikan dan seakan-akan mematahkannya.Boleh tau ikan ini kaku atau tidak, itu jawabnya bila ditanya. Memang ada kebenarannya.... pernah sekali beli ikan ini, dan bila digoreng isinya kaku! Bila direbus terpaksa mengambil masa yang agak panjang supaya isinya jadi lembut. Pengalaman hidup di tengah Lautan Hindi, memberi seribu satu ilmu pengetahuan tentang sifat ikan rupanya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan